Thursday, October 28, 2010

Salam Pembuka bicara...

Assalamualaikum w.b.t

Salam pembuka bicara kepada semua yang sudi menyinggah sebentar di blog baru saya ini. Saya terpaksa membuat yang baru kerana ada beberapa masalah sikit dengan blog yang lama. Blog ini dibuat bertujuan untuk meninjau atau dalam bahasa lainnya menjenguk-jenguk keadaan sekeliling kita. Bukan untuk mencari kesalahan, menegakkan kebenaran, dan memperbetulkan keadaan tetapi mencuba mempelajari sesuatu dari pengalaman hasil dari penglihatan.

Bercerita mengenai pengalaman, bagi yang pernah gagal belajarlah dari kesilapan lalu. Jangan lagi berprasangka dengan takdir Allah. Beranilah menerima ketentuan takdir. Namun tiada jaminan kita akan terus berjaya kali ini, bahkan mungkin masih tidak juga berjaya, atau nasib malang akan menimpa. Tapi suatu yang pasti suatu pencapaian telah dibuat. Ini sudah memadai untuk kita yang mahu berubah. ‘Raikanlah’ kesilapan yang telah dibuat.


William Gladstone, mantan Perdana Menteri Great Britain pernah menyatakan “ No man ever became great or good except through many and great mistakes.”


Kita juga boleh belajar dari Buckminster Fuller, seorang ahli Matematik dan falsafah yang tidak pernah tamat belajar dari kolej tetapi telah menerima anugerah 46 doktor kehormat. Beliau meninggalkan pesan ini pada kita “You can never learn less; you can only learn more. The reason I know so much is because I have made so many mistakes.”


Bagi mendapatkan inspirasi teruskan belajar dari pengalaman orang terdahulu dari kita. Contohi semangat dan daya juang mereka yang dare to fail itu.

Kisah Najmil Faiz, pelajar Malaysia yang pernah membentangkan kajiannya bertajuk “Micro Machine Process” di Parlimen United Kingdom pada 14 Mac 2005 adalah contoh anak tempatan yang sangat baik dijadikan teladan. Kisah kejayaannya tidak sama dengan kejayaan anak-anak Malaysia di luar negara. Dia melalui liku-liku hidup yang getir. Jika diukur dari sudut akademik, dia setakat mencapai Pangkat 3 sahaja dalam SPMnya. Namun kerana dia seorang yang bercita-cita besar, dengan ekstra-usaha, ekstra-sabar, ekstra- tabah dan ekstra-lain-lain sikap akhirnya Najmi Faiz mencapai kejayaan  di tahap yang cemerlang.


Banyak lagi kisah-kisah benar mereka yang berjaya setelah gagal dapat dibaca dan dijadikan teladan. Apatah lagi kita diwariskan dengan kisah-kisah sarat pengajaran dari seerah Nabi Muhammad s.a.w. – iaitu suri teladan bagi segala aspek kehidupan kita di dunia ini. Kita juga boleh berjaya sebagaimana mereka asalkan kita juga mencontohi resepi atau formula hidup mereka.


Oleh itu saya percaya kita tidak pernah kehabisan modal dan teladan untuk dicontohi. Terlalu banyak contoh yang boleh kita rujuk. Yang kita tiada atau masih kurang ialah sikap dan tindakan yang segera. Kadang-kadang kita tidak perlu menunggu masa yang betul untuk memulakan tindakan. Yang kita perlukan ialah keberanian. Kerana setiap tindakan adalah satu percubaan. Semakin besar cita-cita semakin besar risiko yang akan menanti. Justeru, berani adalah juga prasyarat utama untuk berubah. Mengikut mazhab humanisme dalam pendidikan, pencapaian (dan perubahan) seseorang sangat bergantung kepada individu itu sendiri. Barangkali inilah yang dimaksudkan bila Allah menurunkan ayat ini yang mafhumnya :
“Seseunggunya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum itu sehingga ia mengubah nasibnya sendiri.”
Kita wajib mengambil ibroh (pengajaran) dari peristiwa penubuhan negara haram Israel 1948. Kesannya terus dirasai hingga kini. Rakyat Palestin terus menjadi pelarian di buminya sendiri. Tetapi kita beriman bahawa Islam akan kembali menang dan memimpin alam ini satu hari nanti. Moga generasi Palestin sekarang adalah pemuda pemudi yang kuat imannya dan pantang berundur. Mereka adalah umat yang sangat memahami ayat ini :
“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman.” Mafhum Surah Ali Imran :139.


Bagi kita di Malaysia kita pasti tidak akan sesekali mengizinkan selain kuasa politik orang Melayu-Islam menjadi teras kepimpinan tanah air tercinta ini. Musuh-musuh Islam berada di sekeliling kita. Justeru, kita mestilah sentiasa bersiap siaga dengan kemungkinan yang boleh berlaku. Sementara kita ‘berhutang kepada generasi akan datang’, kita tidak boleh leka dengan kehidupan serba selesa di negara kita. Jadi sebelum kita meninggalkan dunia yang fana ini kita bertanggungjawab mempastikan bumi Malaysia (dulunya Tanah Melayu) terus dipusakai kepada anak cucu cicit kita yang soleh. Itu sahaja jaminan yang orang Islam di bumi ini terus mendapat pembelaan sewajarnya.


Sebagai tanda simpati dan empati yang tinggi marilah kita memberi sumbangan ikhlas kepada wakil rakyat Palestin seperti AMAN Palestin di Malaysia. Kita mungkin tidak boleh berada di bumi Palestin untuk bersama-sama mengangkat senjata berjuang bagu menghalau kemaraan tentera zalim Israel. Oleh itu, selain doa yang berterusan, sumbangan ini memang kita boleh lakukan. Moga ia menjadi amal islami yang akan memberatkan pahala kita di akhirat kelak. Amin.


Kita berdoa agar dunia pada tahun ini kembali dipimpin oleh iman dan kemanusiaan yang telah lama hilang selepas runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah di Turki.